Jauhi Maksiat Hindari Zina

Ini adalah satu peringatan buat kita bersama.
Mudah-mudahan kita mendapat
manfaat dari semua ini.

Marilah kita sama-sama jadikan ini
sebagai ingatan buat kita.
Janganlah kita campakkan diri kita
ke dalam azab seksa api neraka.
Jauhkanlah diri kita dari perkara-perkara yang
boleh menghampirkan diri kita dengan
kemurkaan dan azab seksa dari Allah.


Labels:

Isu Pembuangan Bayi

Mengejutkan, sedih serta bingung apabila melihat kekejaman kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi di negara ketika ini. Manusia seolah-olah sudah tidak punya perasaan belas kasihan apabila bayi yang masih kecil, dibunuh dan dibuang sesuka hati. Apakah dosa bayi itu sehingga mereka diperlakukan sebegitu? Sungguh, manusia yang sanggup memperlakukan sebegitu, bukan lagi manusia, tetapi lebih teruk daripada haiwan.

Minggu lepas sahaja, beberapa kes pembunuhan dan pembuangan bayi berlaku. Kes pertama berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam. Kes kedua pula berlaku di Alor Setar, Kedah. Seorang bayi perempuan telah ditemui masih hidup. Kes ketiga pula berlaku di Masjid Jamek Permatang Duyong, Melaka. Mayat seorang bayi perempuan ditemui dipenuhi semut di pintu pagar masjid. Dan yang terakhir berlaku di Kuala Krai. Mayat seorang bayi lelaki ditemui terbakar dalam tong.

Tabiat buruk membuang bayi ini adalah membimbangkan. Tabiat ini boleh menyebabkan pertambahan masalah sosial di kalangan masyarakat. Selain itu, ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Ia juga boleh memberi impak negatif dari segi psikologi terhadap mereka yang terlibat dengan tabiat ini.

Sekiranya tabiat buruk ini terus berleluasa, tidak hairan suatu hari nanti kita boleh menemui mayat-mayat bayi yang dibuang seperti sampah dimerata-rata tempat. Perkara ini akan menjadi semakin serius sekiranya tidak dibendung.

Peningkatan kes pembuangan bayi menunjukkan ramai anggota masyarakat kini mengalami tekanan hidup dan mereka tidak tahu menanganinya dengan bijak. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi yang tidak berdosa.

Mereka yang melakukan perbuatan sebegini adalah mereka yang terlibat dengan pergaulan bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Mereka ini terdesak dan hilang pertimbangan kerana merasa malu dengan apa yang telah mereka lakukan. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuang bayi setelah melahirkannya. Mereka sudah tidak memikirkan haram halal sesuatu perbuatan itu. Mereka ini tidak ada panduan dalam soal agama sehingga tergamak membuang amanah Allah atau membiarkan bayi itu mati. Apa yang mereka tahu, mereka dapat menutupi kesalahan yang telah mereka lakukan. Sebenarnya mereka silap. Tindakan yang mereka ambil ini sebenarnya hanya menambahkan lagi masalah mereka. Tindakan sebegini akan menyebabkan seluruh rakyat di negara ini dapat menghidu perbuatan yang telah mereka lakukan. Ini akan membuatkan mereka lebih tertekan.

Selain itu, institusi keluarga yang semakin lemah akibat kesibukan mengejar kejayaan juga mendorong pertambahan kes pembuangan bayi ini. Remaja-remaja yang bermasalah tidak mempunyai tempat untuk mengadu. Mereka tidak dapat mencari penyelesaian di atas segala masalah yang mereka hadapi. Sekiranya institusi keluarga memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing keluarga masing-masing, perkara sebegini dapat dielakkan.

Stigma masyarakat yang memandang serong ibu yang membesarkan bayi tanpa ikatan perkahwinan juga mendorong pembuangan bayi. Masyarakat seharusnya membantu dan membimbing mereka yang terlibat dengan perbuatan ini agar mereka kembali ke jalan yang benar dan tidak mengulanginya lagi. Mereka tidak seharusnya dihukum, sebaliknya mereka perlu diberi kaunseling dan bimbingan. Mungkin mereka telah tersalah langkah sehingga melahirkan anak luar nikah, tetapi ini bukan bermakna mereka harus disisih dan dipandang serong. Mungkin benar ada pendapat mengatakan sekiranya, perbuatan sebegitu masih diberikan layanan dengan baik, tidak mustahil ramai lagi yang akan terlibat dengan perzinaan dan melahirkan anak luar nikah. Tetapi kita harus ingat, sekiranya kita membantu mereka, masalah pembuangan bayi ini dapat dikurangkan. Dengan ini kita dapat menyelesaikan satu masalah.

Tanggungjawab bagi membendung gejala pembuangan bayi ini tidak hanya terletak dibahu kerajaan. Seluruh masyarakat harus berganding bahu untuk sama-sama berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah ini. Isu ini bukan kesalahan ibu semata-mata, tetapi semua pihak harus turut merasa bersalah. Apabila pendekatan sebegini dapat dipraktikkan, masyarakat akan lebih bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam mengatasi masalah sebegini. Masyarakat akan lebih prihatin dan berusaha bagi mencegah kejadian seperti ini berulang.

Masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dengan meningkatkan pengawasan ke atas anak remaja. Anak remaja tidak boleh dibiarkan lepas bebas untuk bergaul tanpa pengawasan. Ibu bapa harus sentiasa mengambil berat mengenai pergaulan anak remaja mereka. Elakkan anak remaja mereka dari bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan bebas ini sebenarnya yang mendorong berlakunya pembuangan bayi. Kerana mahu menutupi malu setelah mereka melakukan hubungan diluar perkahwinan, mereka mengambil jalan pintas dengan membuang bayi yang dilahirkan.

Ibu bapa juga harus memberikan didikan agama yang terbaik dan menggunakan pendekatan psikologi yang berkesan dalam mendidik anak-anak.

Anak-anak adalah harta yang paling berharga. Mereka adalah amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita. Oleh itu, kita harus menjaga dan mendidik anak-anak dengan sebaiknya. Membuang bayi adalah satu dosa yang besar kerana kita telah mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada kita. Sekiranya kita malu untuk membesarkan bayi yang kita kandung diluar nikah, banyak lagi cara lain yang boleh kita gunakan untuk menutupi rasa malu itu. Ingatlah, masih ramai lagi orang diluar sana yang bersusah payah berusaha untuk mendapatkan anak, tetapi kita dengan mudah membuangnya. Mudah-mudahan kita dijauhkan dari perbuatan keji ini. Nauzubillah.








Labels:

Fikirkan

Pernahkah engkau fikirkan,
Segala kejadian yang berlaku,
Ada hikmah dan peringatan,
buat mereka yang berfikir.

Renungkanlah masa silam mu,
singkapkan tabir semalam,
muhasabahkan amalan,
kelak kau memahami erti kejadian.

Jauhkan dirimu dari keburukan,
kerana ia akan membinasakan,
dekatkan dirimu dengan kebaikan,
kelak kau akan bahgia.

Labels:

Haruan Makan Anak

Kisah haruan makan anak sudah menjadi sebahagian daripada episod kehidupan rakyat Malaysia ketika ini. Tidak dinafikan yang saban hari ada sahaja berita mengenainya disiarkan. Kita semakin jelik dengan situasi yang berlaku kala ini. Sudah tidak sanggup lagi untuk kita menatap media-media massa yang menyiarkan berita mengenai perkara ini.

Saban hari ada sahaja berita mengenai bapa rogol anak, bapa cabul anak, bapa liwat anak dan bermacam-macam lagi berita yang melibatkan ketua keluarga dan anak kandung mereka sendiri. Apa yang lebih malang, perbuatan ini dilakukan oleh orang Melayu yang beragama Islam. Dimana letaknya maruah agama Islam yang lengkap dan terbaik daripada agama-agama lain?

Islam tidak pernah mengajar kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini. Malah Islam telah menetapkan tanggungjawab dana amanah yang harus dipikul oleh bapa sebagai ketua keluarga. Tetapi dimanakah rasa tanggungjawab dan amanah itu dicampakakan sehingga mereka sanggup menjadi seperti haruan makan anak?

Tergamakkah seorang bapa yang mempunyai fikiran yang waras bertindak kejam terhadap anak sendiri? Sanggupkah kita melihat masa depan darah daging kita tercemar disebabkan oleh perbuatan terkutuk kita?

Islam telah mendidik kita mengenai akal dan nafsu. Akal digunakan untuk berfikir manakala nafsu pula ada lumrah kehidupan sebagai manusia. Tanpa nafsu, manusia tidak akan mempunyai keinginan. Tanpa akal, manusia tidak akan mampu untuk berfikir. Walaubagaimanapun, akal dan nafsu boleh membawa kita ke arah kesesatan sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Allah s.w.t tidak menjadikan akal dan nafsu sebagai cara untuk mencari kepuasan diri. Sebaliknya akal dan nafsu itu dijadikan agar manusia dapat berfikir dan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Oleh itu, kita seharusnya menggunakan akal dan nafsu itu ke arah kebaikan. Janganlah kerana terlalu mencari kepuasan, kita sanggup menghancurkan masa depan anak kandung kita sendiri.

Kepada mereka yang tercebak dengan perkara ini, diharapkan agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan. Janganlah mereka disisihkan. Bantulah mereka untuk mencari sinar baru dalam hidup mereka. Kepada mereka yang lain, sama-samalah kita berusaha agar tidak terjebak dengan perkara sebegini. Nauzubillah.

Labels:

Jauhi Budaya Songsang Hari Valentine

Hari Kekasih atau Hari Valentine adalah hari yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih di seluruh dunia. hari ini merupakan hari untuk memperingati dan membuktikan rasa cinta mereka terhadap kekasih masing-masing.

Pelbagai perancangan telah dirancang untuk dijadikan kejutan buat pasangan masing-masing. Ada di antara mereka yang merancang untuk mengadakan jamuan makan malam di restoran-restoran yang menarik dan romantik. Ada juga yang merancang, pertemuan di taman-taman bunga. Dan tidak kurang juga yang merancang pertemuan yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain sebelum ini bagi memastikan Hari Kekasih ini akan diingati sampai bila-bila.

Tidak kurang juga hadiah-hadiah menarik telah dibeli bagi merancakkan lagi hari tersebut. Ada yang membelikan bunga, jam tangan, barang kemas, coklat dan pelbagai lagi hadiah menarik. Tujuannya adalah untuk membuatkan pasangan mereka teruja dengan segala hadiah yang diberikan.

Adakah Kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan Valentine? Darimanakah asalnya Valentine? Mengapa ia sangat popular?

Menurut sejarah, pada zaman dahulu kala, bangsa Romawi memperingati suatu hari besar setiap tanggal 15 Februari yang dinamakan Lupercalia. Peringatan hari besar ini dirayakan untuk menghormati Juno (Tuhan Wanita) dan Perkahwinan, serta Pah (Tuhan dari Alam). Pada saat itu digambarkan orang-orang muda (lelaki dan wanita) memilih pasangannya secara undian. Kemudian mereka bertukar hadiah sebagai pernyataan cinta kasih. Diikuti pula pesta bersama pasangan masing-masing.

Perayaan Lupercalia adalah rangkaian upacara pensucian di masa Romawi Kuno (13-18 Februari). Dua hari pertama, dipersembahkan untuk dewi cinta (Queen of Feverish Love) Juno Februata. Pada hari ini, para pemuda mengundi nama-nama gadis lalu mereka mengambil nama secara acak dan gadis yang namanya keluar harus menjadi pasangan pemuda tersebut selama setahun untuk senang-senang dan hiburan.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Selama upacara ini, kaum muda memukul orang dengan kulit binatang dan wanita berebut untuk dipukul kerana menganggap pukulan itu akan membuat mereka menjadi lebih subur.

Ketika agama Kristian Katolik menjadi agama negara di Roma, penguasa Romawi dan para tokoh agama katolik Roma menjadikan upacara ini dan mewarnainya dengan nuansa Kristiani, antara lain mengganti nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Di antara pendukungnya adalah Kaisar Konstantine dan Paus Gregory I (lihat: The Encyclopedia Britannica, sub judul: Christianity). Agar lebih mendekatkan lagi pada ajaran Kristian, pada 496 M, Paus Gelasius I menjadikan upacara Romawi Kuno ini menjadi Hari Perayaan Gereja dengan nama Saint Valentine's Day untuk menghormati St. Valentine yang kebetulan mati pada 14 Februari (lihat: The World Book Encyclopedia 1998).

The Catholic Encyclopedia Vol. XV sub judul St. Valentine menuliskan ada 3 nama Valentine yang mati pada 14 Februari, seorang di antaranya dilukiskan sebagai yang mati pada masa Romawi. Namun demikian tidak pernah ada penjelasan siapa "St. Valentine" yang termaksud, juga dengan kisahnya yang tidak pernah diketahui ujung-pangkalnya kerana setiap sumber mengisahkan cerita yang berbeza.

Sejarah Valentine di atas menjelaskan kepada kita apa sebenarnya Hari Valentine itu, yang tidak lain bersumber dari paganisme orang musyrik, penyembahan berhala dan penghormatan terhadap patung. Bahkan tiada kaitannya dengan kasih sayang. Lalu mengapa kita masih juga menyambut Hari Valentine?

Hari Valentine ini adalah budaya songsang yang 'ditaja' oleh Yahudi dan Kristian bagi menyesatkan umat Islam melalui hiburan dan perzinaan. Malangnya, masih ramai umat Islam yang tidak menyedari akan hal ini. Mereka masih lagi hanyut dengan budaya songsang ini. Mereka masih setia menantikan hari ini demi membuktikan rasa cinta dan kasih mereka terhadap pasangan mereka.

Hari Kekasih ini merupakan dakyah golongan kafir bagi menghalalkan perzinaan agar wujud satu komuniti masyarakat Islam yang sudah tidak lagi berpegang kepada ajaran yang sebenar. Pada hari tersebut, pasangan kekasih tanpa pertalian pernikahan akan berpeleseran terutamanya di kawasan taman, dataran serta hotel bagi melampiaskan nafsu dan perbuatan ini jelas melanggar hukum Islam.

Pada malam sambutan hari tersebut pula, ramai gadis yang kehilangan dara dan kehormatan sama ada kerana melakukan hubungan seks secara suka sama suka atau akibat dirogol. Mereka melakukan semua ini atas alasan kononnya demi membuktikan 'keagungan' cinta sempena smabutan Hari Kekasih. Maka, dengan ini hasrat golongan Yahudi dan Kristian untuk menyesatkan umat Islam berjaya.

Labels:

Petikan Dari Berita Sekeluarga Menyisih Diri

Manusia sudah hilang harga diri. Tiada lagi belas kasihan yang wujud di hati mereka. Mereka tidak lagi dapat menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara dengan sebaiknya. Mereka telah dikuasai nafsu yang tidak pernah puas.

Setelah membaca berita yang bertajuk 'Sekeluarga Menyisih Diri' dalam Harian Metro, hati saya tergerak untuk menulis di dalam blog ini. Saya merasa sedih dan bersimpati di atas apa yang telah berlaku terhadap seorang wanita yang telah dirogol oleh tiga orang manusia berhati iblis yang bernama lelaki.

Ketiga-tiga lelaki yang berhati iblis itu telah memperkosa gadis tersebut bergilir-gilir. Sambil itu, perbuatan tersebut turut dirakam dan disebarkan menerusi telefon bimbit. Perlakuan tersebut telah menyebabkan mangsa dan keluarganya menyisihkan diri dari masyarakat kerana malu dengan apa yang telah berlaku.

Bagi mereka yang mempunyai akal yang waras, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku. Mereka hanya menberi aib terhadap orang lain. Perbuatan tersebut amatlah keji dan tidak dapat diterima. Sebagai manusia, mereka seharusnya bertindak dan melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kebaikan terhadap orang lain, bukan menambahkan lagi beban dan penderitaan mereka.

Setiap dari kita adalah bersaudara. Walau apa pun agama, bangsa, warna kulit atau pemikiran kita, kita tetap lahir dari manusia yang sama iaitu Nabi Adam a.s. dan Hawa. Dari merekalah lahirnya bangsa-bangsa yang terdapat di seluruh dunia ini. Oleh itu, kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa setiap dari kita adalah bersaudara.

Sebagai saudara, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan menjaga kebajikan orang disekeliling kita. Kita tidak seharusnya bertindak seperti haiwan yang sanggup menghancurkan dan merosakkan masa depan orang lain kerana menurut nafsu.

Buat mereka yang pernah melakukan kejahatan dan merosakkan masa depan orang lain, bertaubatlah. Sedarlah yang hidup ini hanya sementara. Segala perbuatan kita di dunia ini akan dinilai dan diberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan kita. Insaflah sebelum terlambat.


Labels:

Pemimpin Dan Ulama

Ustaz atau ulama merupakan ilmuan agama yang patut menjadi contoh kepada orang lain. Mereka memiliki ilmu agama yang tinggi dan memahami selok belok agama dengan lebih mendalam. Berbanding orang biasa, mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan mendalami ilmu agama.

Dari sisi agama, mereka dipandang mulia dan martabat mereka diangkat lebih tinggi kerana ilmu dan amalan mereka menjadi ikutan orang lain. Oleh itu, mereka sepatutnya menunjukkan teladan dan didikan yang baik dengan segala ilmu yang mereka miliki.

Tetapi sekarang lain yang berlaku. Ustaz atau ulama disisihkan oleh masyarakat. Mereka sepatutnya dijadikan rujukan dalam segala perkara. Tidak kira dalam urusan keagamaan, ekonomi, politik atau apa sahaja. Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Dari segi kehidupan seharian sehinggalah dalam bidang pekerjaan dan pentadbiran. Islam adalah agama yang lengkap.

Dahulu, kedudukan ustaz atau ulama disanjung tinggi oleh pemimpin-pemimpin negeri atau negara kerana kedudukan dan ilmu yang mereka miliki. Mereka dilantik sebagai penasihat dalam bidang pentadbiran. Segala keputusan akan dirujuk kepada mereka sebelum dilaksanakan. Tetapi kini segalanya telah berubah. Mereka disisih jauh. Pandangan dan pendapat mereka, tidak lagi mendapat perhatian semua. Segala tegahan dan larangan mereka tidak lagi dipedulikan. Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku.

Dalam keadaan negara yang sedang mengejar kemajuan, institusi keagamaan tidak boleh disisihkan. Mereka sepatutnya diangkat tinggi setaraf dengan kedudukan pemimpin-pemimpin negara. Pemimpin adalah pelaksana dalam pentadbiran. Manakala ustaz atau ulama adalah pemikir dan penasihat dalam segala hal. Pemimpin tidak akan mampu melaksanakan kepimpinan dengan baik tanpa nasihat dan pendapat yang berlandaskan hukum yang betul menurut agama.

Cuba kita lihat negara-negara lain. Mereka berjaya mencapai kemajuan tetapi lihatlah bagaimana pincangnya kedudukan rakyat mereka dan pentadbiran mereka. Berbagai masalah timbul. Dari segi pemikiran dan perbuatan. Semuanya tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Rakyat hidup dalam tekanan. Pemimpin pula melaksanakan pemimpinan berteraskan pemikiran sendiri semata-mata. Mereka tidak menilai semua itu dari segi pemikiran yang boleh diterima oleh semua.

Lihatlah berapa ramai yang sengsara dengan segala perbuatan pemimpin negara masing-masing. Lihatlah bagaimana Thailand, Indonesia, Filipina dan beberapa negara-negara lain sentiasa mengalami masalah dalam pentadbiran. Tampuk pemerintahan mereka sering kali berubah. Rakyat pula dilanda penderitaan dan kesengsaraan. Semuanya disebabkan oleh tiadanya penasihat yang dapat menjadi pembimbing dan penasihat yang boleh membantu dalam bidang pentadbiran dan sosial.

Pemimpin dan ulama tidak seharusnya dipisahkan. Mereka sepatutnya sama-sama disatukan. Mereka saling memerlukan di antara satu sama lain. Segala hal dan masalah dapat dilaksanakan dan diselesaikan dengan sebaiknya dengan kerjasama di antara mereka.

Labels:

Berdoalah Kamu Untuk Saudara Islam

Hadis:

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Amin, dan engkau pula akab beroleh seperti itu juga." (Abu ad-Darba' r.a.)

Huraian:

1) Doa dari seorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dengan harapan semoga ia beroleh kebaikan atau terselamat dari bala bencana adalah dituntut oleh syarak sama ada setahu orang yang didoakan itu atau tidak.

2) Sesungguhnya setiap kebaikan (doa) yang dipohon itu akan turut diaminkan oleh malaikat dalam erti kata agar doa itu dikabulkan oleh Allah s.w.t. bahkan orang yang berdoa itu sendiri akan beroleh kebaikan yang sama sebagai menghargai keikhlasan hatinya mendoakan saudaranya itu.



Labels:

Mensyukuri Nikmat

Hadis:

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula."(Riwayat Tabrani)

Huraian:

1) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

2) Setiap Muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.

3) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah s.w.t.

Labels:

Ubat Frust Atau Putus Cinta

Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta,

pada suatu saat akan bertemu jua

cinta sejati yang ditunggunya!


Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga, sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas. Aneh sekali derita sakit putus cinta ini benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam. Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan Rasulullah SAW?


Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.


Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya. Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali. (Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang frust dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani memperkosa kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.


Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?


Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimeterai sewaktu sedang syok bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).


Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah.. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.


Sebagai hamba Allah, renungilah firman Allah ini:

Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui. Al Baqarah.


Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.


Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, mengapa aku terpaksa menanggung derita ini. Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter ter segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?


Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, Tuhan ada! Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!


Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya terpaksa bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.


Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati. Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya. Cubalah fikirkan siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir


Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya! Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!


Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama orang yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu. Allah ganti yang lebih baik. Tak sangka, kami akan serasi begini. Begitulah suara-suara testimonial daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).


Ya, pada waktu terkena dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!


Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai mata rantai yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.


Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah sekolah yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.


Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham pelajaran yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan frust berkali-kali.


Semasa kita di peringkat remaja ada pelajaran-pelajaran tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah pelajaran-pelajaran itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya selesai di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa refer atau repeat akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Labels:

Another Templates

Peribadi KU

Ku sembahkan rintihan kepadaMu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku sekalipun aku seorang yang berdosa Wahai Yang Maha Pemberi dan Yang Maha Pemurah.

Followers

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "