Syaitan Itu Kreatif

Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran… tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah – ke arah kebaikan.
“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.
“Hidayah bang…” jawabnya sidia pendek.
“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.
“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”
“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.
“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
“Betul ke ni?”
“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”
Saya terdiam. Kaku.
“Mana pergi tudungnya?”
“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
“Itu tudung?”
“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”
“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kesihan saya melihat wajah sidia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
“Bang saya insaf bang…“
Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu sidia terpilih, sekarang kembali tersisih?

Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:
“Syaitan terlalu kreatif…”
Kreatif? Bisik hati saya.
“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.”
Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-wasan’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya… sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:
“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.”
Apa ertinya?
“Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”
“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”
“Lantas?”
“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”
“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”
“Jadi kebenaran menolak keindahan?”
“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat.
Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
“Transisi? Apa maksud mu?”
“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”
“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”
Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”
“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.
“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?”
“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”
“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!

Labels:

Perpaduan

Hidup ini terasa sunyi bila diri tersisih dari masyarakat. Jiwa terasa kosong. Fikiran terasa bercelaru. Itu adalah antara perasaan yang dialami oleh mereka yang dibiarkan tanpa perhatian dari sesiapa.

Perpaduan merupakan satu cara yang paling sesuai agar tiada seorang pun dari kalangan masyarakat disisih dan dibiarkan tanpa perhatian dan bantuan. Di dalam ajaran Islam sendiri ada di ajarkan tentang silaturahim. Silaturahim di antara ahli keluarga. Silaturahim di antara jiran-jiran. Silaturahim di antara sahabat handai. Silaturahim di antara sesama Islam. Tidak lupa juga silaturahim sesama manusia. Semuanya ini bertujuan untuk menyatukan seluruh manusia. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan yang kehidupan manusia dan seluruh makhluk di dunia ini terpelihara dari ancaman-ancaman yang tidak diingini. Ia juga bertujuan untuk memastikan yang pembangunan dan kemajuan dapat diteruskan dengan baik.

Namun, kita masih jauh dari semua itu. Perpaduan yang diwar-warkan hanya seperti angin yang bertiup. Datang dan terus berlalu pergi. Lihatlah masyarakat kita ketika ini, jauh dari perpaduan. Tiada kesatuan dalam kehidupan dan yang wujud hanyalah perpecahan. Perpecahan dalam persaudaraan. Perpecahan dalam persahabatan. Perpecahan dalam rumah tangga. Tidak kurang juga perpecahan dalam masyarakat.

Cuba kita selami hidup ini sedalam-dalamnya. Apa yang telah kita lakukan terhadap masalah-masalah yang timbul dalam keluarga kita, persahabatan kita dan masyarakat kita? Adakah kita berusaha untuk sama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah yang timbul? Atau kita biarkan hubungan itu hancur hanya kerana kepentingan diri kita sendiri?

Hanya kerana perkara-perkara remeh dan kecil, seluruh dunia boleh hancur. Pernahkah kita fikirkan tentang semua itu. Kenapa kita mesti berbalah dalam menyelesaikan masalah? Mengapa kita tidak boleh berusaha untuk menerima pendapat orang lain sehingga kita sanggup menghancurkan perpaduan di kalangan kita? Kenapa ini semua berlaku? Terutama di kalangan masyarakat Melayu.

Cuba kita lihat sekeliling kita. Cuba kita lihat masyarakat Cina, mereka sentiasa hidup saling bantu-membantu. Banyak rumah-rumah persatuan didirikan semata-mata untuk memastikan kesatuan di antara mereka terpelihara. Mereka menjalankan pelbagai aktiviti bersama. Sekiranya ada permasalahan yang timbul, mereka turut serta merasai permasalahan tersebut.
Mengapa kita tidak boleh melakukan seperti itu?

Kita punya masjid dan surau yang didirikan di merata-rata tempat di negara ini. Tujuan utama masjid-masjid didirikan oleh Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyatupadukan umat Islam seluruhnya. Melalui masjid, pelbagai maklumat dan masalah dapat dikongsi bersama. Tetapi kini yang berlaku adalah sebaliknya. Masjid dan surau sudah semakin kurang penghuninya. Seolah-olah masjid dan surau telah 'mati' ditelan waktu. Ia didirikan semata-mata sebagai hiasan cuma.

Marilah kita renung kembali. Adakah diri kita ini sentiasa berusaha untuk memastikan perpaduan kita terus kekal dan kuat? Adakah diri kita sentiasa berusaha untuk memastikan setiap permasalahan yang timbul diselesaikan bersama? Adakah kita sentiasa berusaha untuk membuang ego kita sejauh yang mungkin semata-mata untuk menerima pendapat orang lain? Marilah kita fikirkan bersama manfaat dan hasil yang bakal kita tuai sekiranya perpaduan di antara kita semua teguh berdiri dan kuat.

Labels:

Guru

Sekolah merupakan tempat untuk menuntut ilmu. Di sini, guru-guru yang bertauliah dilantik untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar mereka mendapat ilmu yang berguna.

Namun kini, kebanyakan guru sudah lupa akan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Ada dikalangan guru yang menjadikan murid -murid mereka sebagai tempat untuk melempiaskan nafsu. Ini telah menjatuhkan martabat guru itu sendiri. Selain itu, guru-guru yang ikhlas mendidik anak bangsa sendiri turut menerima tempias keburukan guru yang tidak bertanggungjawab itu.

Wahai guru-guru, sedarlah akan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kamu. Janganlah kamu merosakkan institusi perguruan semata-mata kerana menurut nafsu. Jadilah pendidik dan contoh yang terbaik. Janganlah jadikan profesion guru semata-mata kerana mencari keuntungan di dunia. Ia bahkan mendapat manfaat yang tinggi di akhirat nanti.

Labels:

Ujian

Berat beban hidup yang di tanggung, terasa diri terlalu lemah untuk terus memikul. Tanggungjawab yang diberikan, harus tetap dilaksanakan. Itu adalah amanah. Tidak boleh tidak, ianya perlu ditunaikan.

Sebagai hamba yang kerdil, ombak-ombak ujian yang memukul, terasa lemas dan rimas untuk ditentang. Kekadang diri terasa dioleng-oleng mengikut alunan ombak. Kapal kecil yang dinaiki seolah-olah lalang yang menari-nari mengikut tiupan angin. Kekadang ke barat, kekadang ke timur. Entah bila agaknya ia akan kekal berdiri tanpa pernah bergantung pada orang lain.

Bila badai besar datang memukul kapal, diri rebah terus ke lantai. Membiarkan diri hanyut didodoi ombak. Inikah diri ku yang sepatutnya? Inikah cara untuk menghadapi ujian Allah. Membiarkn diri rebah menyebah bumi. Membiarkan diri hanyut dalam lautan ujian. Membiarkan diri lemas tanpa pernah berusaha untuk menentangnya.

Oh! Alangkah malangnya hidup ini. Membiarkan diri sebegitu. Lemah dan tidak bermaya. Bukan itu ciri-cirinya orang berjaya. Lihatlah mereka yang telah menerima anugerah kecemerlangan di dunia dan juga di akhirat. Lihatlah betapa kesabaran dan keyakinan mereka mengatasi pukulan ombak ujian yang mengganas. Mereka tidak pernah berputus asa. Mereka tidak pernah menyerah kalah.

Pernah aku terfikir. Bagaimana caranya mereka mendidik dan melatih diri mereka menjadi sedemikian rupa. Alangkah bahgianya mereka mampu melakukan itu semua. Ingin rasanya diri menjadi seperti mereka. Biar segunung ujian yang mendatang, mereka tidak pernah gentar dan takut. Mereka hadapinya dengan gembira. Seolah-olah ujian itu adalah permainan mereka. Marilah kita renung bersama tentang perkara ini.

Labels:

Kecanggihan Dunia Teknologi

Dewasa ini, kecanggihan teknologi telah menghantui kehidupan kita. Pelbagai gadget baru yang dikeluarkan oleh pihak pengeluar. Mereka bersaing sesama sendiri untuk memastikan produk mereka terjual laris di pasaran. Semua gadget ini telah memberikan banyak kemudahan dan kesenangan kepada para pengguna. Kebanyakan daripadanya dicipta untuk memberi kemudahan kepada pengguna untuk berhubung.

Teknologi maklumat merupakan satu medan penting bagi setiap orang untuk mengetahui berita-berita dan maklumat-maklumat terkini mengenai pelbagai perkara. Sesuatu berita dan maklumat mudah tersebar melalui jaringan internet. Internet telah menjadi medan utama kepada semua untuk mendapatkan berita,maklumat dan sebagainya.




Dengan perkembangan penggunaan internet, para pengeluar bersaing untuk mengeluarkan alat yang akan memudahkan pengguna untuk melayari internet di mana sahaja mereka berada. oleh sebab itu, maka terhasillah telefon-telefon pintar, 'netbook', pelayar internet mudah alih dan sebagainya lagi.

Dengan kebanjiran alat-alat sebegini, kita telah melangkah ke dalam satu dunia baru. Dunia yang penuh dengan keperluan kepenggunaan. Dahulu, tempat tinggal, makanan, pakaian dan pengangkutan menjadi perkara asas dalam kehidupan seharian. Namun kini segalanya telah berubah. Alat-alat komunikasi dan pelayar-pelayar internet mudah alih menjadi alat penting dalam kehidupan individu. Tanpa semua ini, hidup terasa kosong. Seolah-olah kita hidup dalam dunia kegelapan. Tanpa cahaya yang akan menjadi pembimbing dan petunjuk dalam menuju kehidupan yang lebih baik.



Kesemua ini telah merubah hidup kita menjadi individu yang lebih banyak menghabiskan waktu berhadapan dengan segala jenis alatan-alatan canggih. Kita telah mula menjauhkan diri kita dengan kehidupan normal. Kita lebih banyak menghabiskan masa kita dengan berhubung di dalam talian daripada berbual secara bersemuka. Kita lebih banyak mencari maklumat-maklumat dengan menggunakan 'search engin' yang terdapat di dalam talian daripada mengunjungi kedai-kedai buku atau perpustakaan-perpustakaan. Walaupun kita sedar yang sesetengah daripada sumber maklumat itu adalah salah, namun kita masih mahu mengambilnya sebagai sumber utama.

Segalanya telah merubah kehidupan kita. Dengan teknologi, kita berperang dengan hidup kita. kita tidak mahu dikatakan kolot kerana ketinggalan jauh darinya. Namun kita perlu sedar bahawa, semuanya ini akan memberi impak yang besar dalam kehidupan kita. Oleh sebab itu, kita harus bijak dalam menentukan arah hidup kita supaya ia tidak akan memberi kesan buruk di kemudian hari.

Labels:

Santapan Rohani

Di suatu masa dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu-ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.

Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.

Maka tiba-tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah-olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan. Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri. Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid-murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.

Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).

Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :

Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang, yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!

Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.

Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyangpun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing - masing sambil ketawa terbahak-bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.

Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!

Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul dimasjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada. Bekas kandangpun tiada, seolah - olah kandang kibas tidak pernah wujud!

Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Allah Ta'ala telah berfirman yang sekira-kira bermaksud :

"...; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa."
(Surah An-Najm : 32)

"Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah itu tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membangga diri."
(Surah Luqman : 18)

Labels:

Menarik Tentang Haiwan

1) Tahukah anda, semut tidak pernah tidur dan ia akan bersenam merenggangkan badannya setiap pagi.

2) Jerung boleh hidup sehingga 100 tahun.

3) Apabila seekor badak air dewasa mengangakan mulut, keluasan bukaannya cukup untuk membolehkan seorang budak setinggi 1.25m berdiri di dalamnya.

4) Gajah hanya tidur 2 jam sehari, tetapi Gorila dan Kucing 14 jam!

5) Lintah bulan mempunyai 4 hidung!

6) Burung Penguin boleh berenang sepantas 24 KM sejam.

7) Tiada seekor pun Singa dan Labah-labah mempunyai bulu dan bentuk yang serupa.

8) Ikan paus boleh berenang selama 3 bulan tanpa makan.

9) Tiram boleh bertukar jantina.

10) Lebah boleh hidup sekitar 40 hari sahaja kecuali pada musim sejuk ia boleh hidup selama 3-6 bulan.

11) Kuda Belang mempunyai kombinasi warna yang sangat menarik iaitu hitam dan putih. Tetapi warna asasnya adalah PUTIH.

12) Unta mempunyai 3 lapisan kelopak mata, ini dapat melindungi matanya dikawasan padang pasir.

13) Seekor Cacing mempunyai 8 jantung.

14) Lembu adalah haiwan yang buta warna.

15) Telur burung unta adalah telur paling besar di dunia. Berukuran 6-8 inci setiap 1, kalau di rebus akan mengambil masa 40 minit untuk masak.

16) Kalau kita sembur racun ke arah semut, serangga itu mesti akan tumbang ke sebelah kiri.

17) Hamster hanya mengelipkan sebelah mata sahaja pada setiap masa.

18) Rama-rama tidak mempunyai perut.

19) Landak akan terapung kalau dicampak ke dalam air.

20) Semasa dilahirkan, anak Beruang panda adalah lebih kecil daripada seekor tikus. Beratnya cuma 113 gram sahaja!

21) Nyamuk betina boleh hidup sehingga 100 hari manakala nyamuk jantan hanya 10-20 hari sahaja.

22) Walaupun tenaga seekor buaya semasa menutup mulutnya begitu kuat sehingga boleh mematahkan tulang- temulang kita, tetapi otot yang bertindak untuk membuka mulut haiwan tersebut terlalu lemah sehingga kita boleh memegang mulut Reptilia itu dan menghalangnya daripada terbuka dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

23) Ular tidak boleh mengelipkan mata, Reptilia itu juga tidak akan mematuk ketika berada di dalam air kerana boleh menyebabkannya lemas.

24) Tenggiling adalah binatang yang malas. Haiwan ini menggunakan 80% hayatnya semata-mata untuk tidur!

25) Badak boleh mengangkat 850 kali beratnya sendiri sedangkan manusia hendak mengangkat beban yang 2 kali ganda beratnya pun macam hendak terkeluar isi perut.

26) Seekor landak dewasa mempunyai 30,000 batang duri pada badannya dan ia diganti setiap tahun.

27) Seekor penyu boleh hidup sehingga 100 tahun

28) Belalai gajah tidak bertulang, tetapi mengandungi 40,000 otot!

29) Rama-rama merasa makanannnya dengan menggunakan kaki terlebih dahulu.

30) Arnab betina boleh mengawal lebihan populasinya dengan menyerap embrionya ke dalam tubuh.

31) Buaya pula tidak boleh mengundur.

32) Harimau Kumbang boleh berlari sepantas 110 KM sejam.

33) Kupu-kupu boleh mengesan bau yang berada 11 KM jauh darinya.

34) Tikus Mondok boleh menggali lubang sedalam 91 m dalam tempoh 1 malam sahaja.

Labels:

Kisah Rasulullah S.A.W Sebagai Pengajaran

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.'

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah merahan' )
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.'
Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini.' tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu?'
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia.'
'Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. 'Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu? '

6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,
'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?'
'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.'
'Ya Rasulullah.. .mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
'Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?'
Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya? Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda lagi berdiri diwaktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?'
Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

Labels:

Sifat-Sifat Wanita Solehah

  1. Sentiasa taat kepada Allah dan RasulNya. Tandanya ialah dia sentiasa melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah.
  2. Sentiasa mengutamakan amalan-amalan yang boleh membantu menegakkan agama Allah.
  3. Sentiasa membantu perjuangan kaum lelaki dalam menegakkan agama Allah, membela kebenaran dan bertakwa. Bukan menjadikan lelaki sebagai kuda untuk mencapai dan memenuhi tuntutan nafsu, merosakkan agama dan menyuburkan kemungkaran.
  4. Berbuat baik kepada ibu bapa.
  5. Sentiasa berderma dan berinfak ke jalan Allah dan jalan kebajikan. Contoh peribadi wanita demikian ialah isteri Rasulullah s.a.w., Siti Khadijah.
  6. Sentiasa berbaik-baik dan menyenangkan hati jiran.
  7. Tidak pernah berdua-duaan (berkhalwat bersama lelaki ajnabi dan bukan mahram).
  8. Tidak berhias (bersolek) menyerupai wanita jahiliah seperti mewarnai dan mengerinting rambut, mengecat kuku, membuat tahi lalat palsu, memakai gelang kaki dan sebagainya.
  9. Menutup aurat. Tidak boleh mendedahkan aurat dan tidak mempamerkan kecantikan untuk tontonan lelaki ajnabi (bukan mahram) ketika keluar rumah.
  10. Tidak keluar rumah bersendirian tanpa ditemani suami atau mahram atau ditemani dua wanita yang baik.
  11. Menjaga akhlak di rumah dan di luar rumah.
  12. Sifat dan tingkah laku menyenangkan hati suami.
  13. Sentiasa melayani suami dengan kemesraan atau menyambut suami dengan layanan yang menyenangkan hati suami.
  14. Tidak keluar rumah tanpa izin suami. Kalau keluar cuma dengan izin suami kerana ada keperluan yang diluluskan syariat serta keadaan menutup aurat dan dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah.

Labels:

Tanda-Tanda Orang Bijak

Saidina Othman Ibnu Affan Rha. berkata:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

  1. Hatinya selalu berniat suci.
  2. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
  3. Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).
  4. Segala perkara dihadapinya dengan sabar dan tabah.
  5. Mengutamakan kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia.


Labels:

Kelebihan Bulan Syaaban

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya "Dinamakan dengan Syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak."

Antara kelebihan yang terdapat di bulan Syaaban ialah:
  1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda.
  2. Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambaNya.
  3. Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya, maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
  4. Kelebihan malam Nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al-Quran dan sebagainya, maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
  5. Orang-orang yang tidak diampunkan dosa mereka oleh Allah pada malam Nisfu Syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan silaturahim.

Labels:

Another Templates

Peribadi KU

Ku sembahkan rintihan kepadaMu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku sekalipun aku seorang yang berdosa Wahai Yang Maha Pemberi dan Yang Maha Pemurah.

Followers

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "