Assalamu'alaikum.
Dalam perjalanan aku ke pejabat hari ini, terasa seolah-olah dunia dalam keadaan bersedih. Cuaca pagi yang ceria, terasa hambar. Kemurungan menutupi keceriaan. Cuaca mendung dan suram. Tiada sinar ceria yang menerangi. Walaupun hari ini aku keluar rumah agak lewat dari kebiasaan, tetapi aku dapat merasakan perbezaan itu berbanding hari-hari lain. Aku fikir, mungkin hari ini nak hujan. Hujan rahmat yang turun memberkati bumi Malaysia pada pagi penghulu segala hari.
Sesampai sahaja aku di pejabat, seperti kebiasaannya aku akan on kan laptop aku. Kemudian aku buka facebook. Terpancullah post-post mengenai presiden Mesir, Dr Morsi. Aku dapat lihat ada ramai yang merasa simpati dengan apa yang berlaku terhadap beliau. Beliau telah digulingkan oleh rakyat Mesir. Dan tinggallah beliau menjadi orang buangan oleh rakyat sendiri. Walhal sebelum ini, mereka sendiri yang memilih beliau untuk menjadi presiden mereka.
Apa yang menyedihkan ialah, Dr Morsi seorang muslim yang berkaliber. Seorang penghafaz Al-Quran dan berpegang teguh dengan ajaran Islam. Namun, ada suara-suara sumbang yang mengatakan dia seorang diktator. Dan aku tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Mesir sehingga rakyat Mesir menggulingkan beliau.
Walau apa pun yang berlaku, aku tetap merasa sedih. Sedih kerana seorang pemimpin Islam, yang berusaha untuk menegakkan agama Islam telah ditentang oleh orang Islam sendiri. Mengapa mereka sanggup melakukan sebegitu? Apa yang mereka mahukan? Soalan-soalan yang aku sendiri tidak mampu untuk menjawabnya.
Selain itu, aku juga terkilan dengan apa yang berlaku di Turki. Turki juga sedeng mengalami masalah pemberontakan daripada rakyat negara tersebut. Mereka mahu perdana menteri Recip Tayyib Erdogan meletak jawatan. Walaupun kalangan mereka yang memberontak itu tidak ramai, namun ia tetap menimbulkan pergolakan di dalam negara.
Apa yang aku ketahui, Recip Tayyib Erdogan merupakan perdana menteri Turki yang berusaha untuk membangunkan kembali Islam dikalangan rakyat Islam di Turki. Sebelum ini, Turki telah dilanda kegelapan Islam. Islam telah dianak tirikan dan jauh dari diri rakyat. Dan apabila Erdogan mengambil alih tampok pemerintahan, beliau berusaha untuk menghidupkan kembali cahaya Islam di bumi Turki. Namun sekarang ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan beliau.
Kedua-dua pemimpin ini adalah orang yang berusaha menegakkan Islam dalam negara mereka. Namun, usaha mereka telah ditentang. Dari sini kita dapat melihat, betapa jauhnya kita sekarang dengan Islam. Berapa ramai orang yang beragama Islam, yang menentang Islam? Dimanakah posisi kita dalam Islam? Adakah kita penyokong Islam atapun kita penentang Islam? Adakah kita ini benar-benar Islam dalam erti kata yang sebenarnya? Atau adakah kita ini Islam atas nama sahaja?
Sama-samalah kita renungkan.
Wassalam.