1 Januari kembali lagi untuk kesekian kalinya. Setiap kali tibanya 1 Januari, pelbagai acara diadakan untuk meraikan kehadirannya. Konsert, pertunjukan bunga api, persembahan dan pelbagai lagi acara diadakan semata-mata untuk menanti detik 12 tengah malam. Apabila tepat pukul 12 tengah malam, seluruh penduduk dunia akan bersorak sambil mengucapkan selamat tahun baru.
Bagi mereka yang ekstremis dengan kehadiran 1 Januari, mereka akan merasa bahang kepanasan untuk musim baru yang bakal mereka tempoh. Pelbagai perancangan telah dirancang bagi menghadapi tahun baru. Ada yang merancang untuk membeli kereta baru. Ada juga yang merancang untuk membeli rumah baru. Tidak kurang juga bagi mereka yang merancang untuk mencari pasangan hidup. Walau apapun rancangan mereka, mereka pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan segala perancangan tersebut.
Dalam kemeriahan penduduk dunia memasang cita-cita dan impian masing-masing, masih ada juga di antara kita yang tidak mempunyai perancangan apa-apa. Bagi mereka, 1 Januari adalah merupakan satu tarikh yang tidak memberi makna kepada mereka. Mereka adalah diri mereka sendiri. Tarikh tersebut tidak akan memberi impak apa-apa. Mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mereka usahakan menjelang tahun baru. Pemikiran sebegini hanya akan merugikan diri mereka sendiri.
Azam atau perancangan untuk tahun baru sebenarnya akan membantu kita mencari arah tuju kita pada masa hadapan. Dengan menetapkan azam atau perancangan, kita telah membawa diri kita ke arah satu matlamat. Matlamat itu akan membuatkan kita berusaha untuk mencapai segala keazaman dan keinginankita. Dengan cara itu, hidup kita akan menjadi lebih terurus dan kita akan sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan.
Dengan mempunyai azam dan perancangan, setiap detik yang berlalu dalam hidup kita pasti akan diisi dengan perkara yang berfaedah dan ia tidak akan dibiarkan begitu sahaja bagi memastikan semuanya berjalan lancar seperti yang telah kita rancangkan. Oleh itu, bagi mereka yang masih belum mempunyai perancangan, fikirkan lah sekurang-kurangnya satu azam atau impian yang ingin mereka capai dalam tahun ini. Bagi mereka yang sudah mempunyai perancangan, berusahalah sebaik-baiknya agar segala impian dan perancangan mereka akan tercapai.
Thursday, January 7, 2010 |
0
comments
Labels:
Isu semasa
0 comments:
Post a Comment