Abu Ayyub Al-Ansari daripada Bani Najjar merupakan insan yang bertuah kerana sejurus Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, unta Baginda berhenti di halaman rumahnya. Waktu itu penduduk Madinah berebut-rebut meminta Rasulullah singgah dan tinggal di rumah mereka. Namun Rasulullah s.a.w. menolak lembut dan membiarkan unta itu berjalan dan singgah di tempat yang ia mahu.
Melihat unta tersebut berhenti di situ, wajah Abu Ayyub disinari cahaya kegembiraan. Segera didekati Rasulullah s.a.w. dan mengambil "bagasi" yang dibawa Baginda dan memeluknya ke dadanya, seolah-olah beliau sedang memeluk harta yang sangat bernilai.
Rumah Abu Ayyub dua tingkat. Tingkat teratas disediakan untuk Rasulullah s.a.w., namun Baginda lebih gemar berada di tingkat bawah. Abu Ayyub dan isterinya tidak dapat tidur dengan lena memandangkan mereka berada lebih tinggi daripada Rasulullah s.a.w. Akhirnya beliau mengadu pada Rasulullah s.a.w.
Abu Ayyub: Demi Allah, kami tidak dapat lena semalam, aku dan Ummu Ayyub.
Rasulullah: Kenapa tidak Abu Ayyub?
Abu Ayyub menerangkan beliau berasa tidak senang berada di atas sedangkan Rasul di bawah, di sampaing risau sekiranya mengganggu penurunan wahyu.
Rasulullah: Jangan risau Abu Ayyub. Kami lebih suka berada di tingkat bawah kerana ramai yang datang melawat kami.
Abu Ayyub: Kalau begitu, kami taat pada Pesuruh Allah.
Namun pada suatu malam yang dingin, balang menyimpan air pecah dan air mengalir keluar. Abu Ayyub hanya memiliki sehelai kain baldu yang digunakan sebagai selimut. Dia dan isterinya mengelap air yang mengalir dengan cepat supaya air tidak meleleh ke tingkat bawah. Betapa cintanya Abu Ayyub kepada Rasul junjungan.
Keesokan harinya Abu Ayyub berjumpa Rasulullah dan berkata, "Aku tak suka berada di atasmu wahai kekasih Allah." Abu Ayyub menceritakan peristiwa yang berlaku semalam. Akhirnya Rasulullah akur dan berpindah ke tingkat atas.
Rasulullah s.a.w. tinggal di rumah Abu Ayyub selama tujuh bulan sebelum masjid Nabawi siap dibina dan terus berjiran dengan Abu Ayyub al-Ansari.
Sunday, April 25, 2010 |
0
comments
Labels:
Pedoman
0 comments:
Post a Comment