Senyuman Yang Ikhlas

HAKIKATNYA, kita manusia adalah milik Allah Taala. Tiada hak mutlak ke atas tubuh badan ini, apatah lagi hak ingin memilih ikut suka hati kita sendiri. Memang Allah Yang Maha Pengasih sentiasa memberi kebebasan atas apa juga keinginan manusia. Siapalah kita untuk menolak ketentuan Allah Taala.

Kehidupan yang diciptakan Allah Taala terlalu bernilai bagi manusia yang kerdil. Limpahan nikmat-Nya yang mencurah-curah mendatangkan kebahagiaan di hati insan. Sepatutnya hanya senyuman yang layak dipamerkan setiap pagi, senyuman tanda syukur dan gembira di atas nikmat-Nya. Senyuman itu begitu mahal harganya dan tiada ibadat yang paling berharga selain ukiran senyum syukur di bibir insan yang beriman.

Senyuman itu berintikan redha, kasih dan cinta kepada ketentuan Allah SWT. Senyuman itu juga menyimpan rasa rindu dan igauan untuk akur di atas segala suruhan-Nya. Tidak terbit sedikitpun di hati untuk ingkar dan berpaling kerana hati itu dijinakkan oleh nikmat kurniaan daripada-Nya. Hati itu sentiasa mengingati betapa Allah Taala terlalu menyayangi di mana tiada siapapun yang sanggup menyayangi seperti Dia. Dialah Allah Taala, kekasih yang paling setia, paling memahami dan paling bertolak ansur. Jika insan yang anda sayang boleh menikam anda dari belakang, ingatlah sesungguhnya Allah SWT hendak memberi ingatan kepada anda bahawa hanya Dia saja yang paling setia kepada anda.

Sebaik membuka mata pada pagi hari, nikmat hadir di sekeliling kita. Isteri tempat bermesra, anak yang menjadi cahaya mata, rumah yang aman dan selesa, kesihatan tubuh badan, harta dan ilmu. Iman dan Islam yang menjadi punca kebahagiaan itu pun dipilih untuk kita. Adakah Tuhan lain yang layak ditaati selain Dia Yang Maha Pemberi Nikmat? Jika kita berdosa, Allah Taala menghulurkan sedikit masa untuk menunggu agar kita kembali pulang kepada-Nya, bertaubat dan mengakui kesilapan, tersungkur di atas dosa dan noda mengharap rahmat-Nya. Allah Taala memberi peluang kepada kita kerana Dia Maha Lembut dan Kasih.

Siapakah paling berbahagia dalam kehidupannya? Orang beriman tentu lebih banyak tersenyum daripada merungut kerana mereka tidak mahu Allah Taala mendengar keluhan atas takdir mereka hari ini. Selain tersenyum dan bersyukur, mereka juga optimis dalam menjalani ranjau kehidupan. Kegembiraan itu menjadi roh kebangkitan apabila hati disentuh duri ujian. Mereka cepat melupakan kesedihan dan bangkit kembali dengan senyuman syukur kepada Allah SWT.

Senyuman yang ikhlas menjadi pemangkin kejayaan seorang mukmin dunia dan akhirat. Mulakan dengan senyuman yang menerbitkan cahaya iman. Senyuman ikhlas menandakan seseorang itu berada pada tahap kualiti amal yang produktif. Kerana keceriaan itu berhubungan langsung dengan keadaan emosi. Jika emosi seseorang baik maka ia akan melakukan amal dan kerja dengan gembira dan berkualiti. Begitulah kekuatan sebuah senyuman yang ikhlas. Rasulullah SAW suka mendengar perbualan sahabat Baginda ketika bergaul mesra dengan mereka. Hal ini dijelaskan dalam hadis diriwayatkan daripada Samak bin Harb. Aku bertanya kepada Jabir bin Samurah: Pernahkah kamu duduk bersama-sama Rasulullah SAW. Jawab Jabir: “Bahkan sering. Biasanya baginda SAW belum bangun dari tempat solat Subuh sebelum terbit matahari. Apabila terbit matahari barulah Baginda berdiri. Selama duduk itu sahabat ada bercerita mengenai zaman jahiliah mereka dulu, lalu mereka tertawa dan baginda pun tersenyum.” (Riwayat Muslim)

Ketika Rasulullah SAW berada di sisi isterinya, Baginda amat sukakan gurauan untuk memikat hati mereka, seperti yang digambarkan Anas bin Malik, beliau berkata: Pada suatu ketika Ummu Sulaim bermusafir bersama isteri Rasulullah SAW, diiringi seorang hamba berkulit hitam bernama Anjasyah. Baginda bersabda yang bermaksud: Wahai Anjasyah, perlahan-lahanlah kamu mengiringi botol kaca (perumpamaan bagi wanita yang halus dan lembut)”.

Oleh itu, seorang hamba Allah yang kuat iman dan amalnya tidak seharusnya meninggalkan aktiviti yang mendatangkan keceriaan pada wajahnya. Jika kita menganggap iman boleh diukur dengan wajah serius, tidak mahu bergurau senda dan bencikan hiburan, maka orang yang menjalani hidup seperti ini adalah orang sakit dan terdera mentalnya. Hiduplah dengan gembira dan nyatakan kesyukuran kepada Allah SWT dengan hati ceria dan reda kepada-Nya. Senyuman itu boleh menguatkan iman.

Labels:

0 comments:

Post a Comment

Another Templates

Peribadi KU

Ku sembahkan rintihan kepadaMu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku sekalipun aku seorang yang berdosa Wahai Yang Maha Pemberi dan Yang Maha Pemurah.

Followers

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "